KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mungkin semakin ‘selesa’ selepas kes
COVID-19 dilaporkan semakin menurun sehingga menyebabkan ada sesetengah
daripada mereka tidak lagi mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan
lebih ketat.
Pengerusi Perikatan Komuniti
Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, rakyat melakukan tugas dengan
sangat baik dalam meratakan lengkungan kes dan usaha itu harus berterusan bagi
memastikan apa yang dilakukan selama ini tidak sia-sia.
Jelasnya, sekiranya rakyat tidak
berhati-hati dan leka, tidak mustahil jumlah kes kembali meningkat.
“Kita harus terus berwaspada.
Faktanya adalah bahawa virus masih ada di tengah kita dan musuh tidak dapat
dilihat.
“Walaupun kita bangga mengetahui
bahawa ramai yang memakai topeng muka di tempat awam, masih ramai yang tidak
melakukannya di tempat yang sesak di mana terdapat kemungkinan penyebaran
penyakit ini.
“Ada yang dilihat memakai pelitup
muka di leher mereka dan bukan di wajah mereka,” katanya dalam satu kenyataan
pada Sabtu.
Tambahnya, walaupun Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mewajibkan semua orang memakai pelitup muka
namun semuanya terletak pada inisiatif rakyat itu sendiri untuk mengamalkannya.
Bahkan, katanya, masih ramai
tidak mengamalkan penjarakan sosial sedangkan ia merupakan antara aspek
terpenting dalam mengawal penularan virus berkenaan.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata
negara kini sedang menuju fasa pemulihan dan masyarakat perlu melakukan segala
yang mungkin untuk memastikan kejayaan berterusan namun
“Kita, rakyat biasa adalah
frontliners baharu dalam memerangi penyakit ini. Doktor, jururawat, pekerja
hospital dan kakitangan perubatan lain adalah barisan hadapan yang sebelum ini
telah melakukan kerja luar biasa dalam meratakan lengkungan.
“Walaupun mereka terus memikul
tanggungjawab utama untuk menjaga keselamatan kita, sekarang kita semua harus
melakukan yang selebihnya, sebagai pelapis frontliners yang baharu,” ujarnya.
Kes positif COVID-19 di Malaysia
mencatatkan 9 lagi kes baharu positif dilaporkan pada Sabtu.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah
Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, ia menjadikan jumlah kes
positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 8,764 kes.
Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 96 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.