KUALA LUMPUR: Beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional
membantah hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin
melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Noh Omar (PN-Tanjong Karang) kecewa dengan kenyataan Zuraida yang
Selangor dan Pulau Pinang akan menjadi negeri percubaan untuk melaksanakan
pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana Umno dan PAS menolak
pelaksanaan itu.
“Tolong lupakan manifesto dari BN dan PH, ayuh tengok ke hadapan dan
keputusan yang dibuat perlulah mengambil kira perasaan gabungan yang lain, Umno
dan PAS.
“Saya minta maaf pada menteri KPKT, saya amat terguris hati, amat
terkejut bila menteri KPKT berikan jawapan semalam, KPKT sejak 2018 masih dalam
penyediaan kertas untuk dibentangkan yang disasarkan pada 2021.
“Saya lebih sedih bila menteri katakan Selangor dan Pulau Pinang akan
jadi negeri percubaan. Saya tegaskan PAS dan Umno menolak pilihan raya PBT. Ini
siapa punya manifesto? Ini manifesto PH,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Noh mahu Zuraida mengumumkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri,
Muhyiddin Yassin membatalkan hasrat melaksanakan pilihan raya PBT.
“Sekarang ini kerajaan PN kita tidak ada manifesto. Tolonglah supaya
kita ini senang di bawah ini. Tidak perlulah bawa kertas cadangan kepada
Kabinet, menteri lupakanlah.”
Nik Mohamad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) turut bangun dan membantah
pelaksanaan pilihan raya PBT.
“PAS tegas pilihan raya PBT kita akan tolak.”
Alexander Nanta Linggi (PN-Kapit) senada yang Sarawak turut menolak
pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.
“Sarawak tidak mahu,” katanya.
Semalam, Zuraida dilaporkan berkata, kementeriannya menyasarkan usul
pilihan raya kerajaan tempatan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada
pertengahan 2021.
Beliau berkata, kementeriannya sejak 2018 menyediakan kertas Kabinet dan
menubuhkan 2 jawatankuasa berhubung perkara itu.
Katanya, pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan belanja
keseluruhan RM308 juta bagi 154 PBT atau RM2 juta bagi setiap PBT.
Beliau mengesahkan ketika berada dalam Kabinet PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri itu tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.