Bersatu tak mohon sertai MN, tapi dijemput - Redzuan


KUALA LUMPUR, 30 Julai ― Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyangkal kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Bersatu telah memohon untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Redzuan berkata, sebaliknya Bersatu sendiri yang menerima jemputan untuk menyertai gabungan tersebut.

“PM (Muhyiddin) tidak pernah mohon sertai MN, cuma dijemput oleh MN.

“Kenyataan Zahid tidak tepat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Muhyiddin telah menerima jemputan itu atau tidak, Redzuan berkata MPT Bersatu bersetuju untuk menerima dan memberi mandat atas jemputan MN.

Terdahulu hari ini, terdapat sumber mengatakan Bersatu telah bersetuju untuk menyertai MN, ketika pertemuan antara Muhyiddin dengan anggota Parlimen UMNO dan PAS semalam.

"PM memberi komitmen kerjasama dengan UMNO BN khususnya bagi menghadapi PRU15. Muhyiddin juga berkata bahawa Bersatu akan turut menyertai Muafakat Nasional. Ini bagi memudahkan urusan PRU15 nanti termasuk agihan kerusi," katanya.

Dalam sidang media hari ini, Zahid turut menyebut tentang pertemuan itu dan berkata Jawatankuasa Induk MN akan mempertimbangkannya.

Pada masa sama, Zahid juga berkata UMNO telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi namun akan tetap menyokong kerajaan PN.

Redzuan berkata lagi, jemputan kepada Bersatu itu mungkin sebagai respons kepada rancangan Muhyiddin unguk membentuk PN secara rasmi.

“Jemputan mungkin mahu seimbangkan rancangan Muhyiddin untuk membentuk PN,” katanya.

Gabungan PN yang membentuk kerajaan pusat dianggotai oleh Bersatu, BN, PAS, sejumlah bekas anggota Parlimen PKR, GPS, PBS dan STAR.