KUCHING, 27 Julai --- Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak meminta ADUN Padungan, Wong King Wei untuk mempertimbangkan semula keputusan keluar parti beliau semalam.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, dalam satu kenyataan hari ini berkata , Wong tidak pernah berbincang dengannya sebelum membuat keputusan drastik itu.
"Untuk keputusan yang berat seperti itu, saya fikir beliau akan sampaikan keinginannya terlebih dahulu kepada saya dan membincangkannya terlebih dahulu. Tetapi sayangnya, itu tidak berlaku.
"Semua parti politik ada pengalaman baik dan buruk serta perbezaan pendapat. Seorang ahli parti yang sejati akan tetap setia terhadap parti ketika susah, senang.
"Oleh itu, saya harap beliau mempertimbangkan kembali keputusannya untuk keluar dari parti dan tidak mengecewakan pengundi yang memilihnya di Padungan," kata Chong yang juga ADUN Kota Sentosa.
Chong meluahkan rasa terkejut dan kecewa atas keputusan Wong yang tiba-tiba keluar parti dan percaya bahawa salah faham atau perselisihan apa pun tidak penting ke arah umum parti untuk memerangi rasuah dan memulihkan kerajaan yang bersih.
"Saya terkejut dan kecewa dengan keputusan Wong keluar dari DAP. Apa pun salah faham dan perselisihan antara ahli dalam parti, itu pasti bukan alasan yang sah untuk keluar parti kerana perjuangan politik DAP tetap tidak goyah dan tidak berubah sepanjang masa,' kata Chong dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Stampin itu juga menyesal melihat Wong telah menentang parti itu.
“Lebih-lebih lagi, King Wei telah menjadi pembantu khas saya selama bertahun-tahun sehingga beliau pertama kali dipilih sebagai ADUN untuk Padungan pada tahun 2011 di bawah tiket DAP," kata Chong.
Menolak untuk dinamakan semula sebagai calon DAP Padungan bagi pilihan raya negeri kelak, Wong mengumumkan pengunduran dirinya dari parti itu malam tadi (26 Julai).
Beliau percaya bahawa beliau harus memberitahukan niatnya sekarang kerana pilihan raya negeri semakin hampir.
Beliau turut menegaskan tidak akan bertanding pada mana-mana pilihan raya dalam masa terdekat.
"Saya kekal sebagai ADUN Padungan sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan," katanya yang juga bekas Naib Presiden DAP Sarawak.