KUALA LUMPUR, 26 Julai – Setelah lebih 14 hari berturut-turut tidak merekodkan kes kematian, Malaysia kembali mencatatkan satu kes kematian COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat wabak itu 124 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes kematian tersebut membabitkan seorang perempuan tempatan berumur 63 tahun di Sarawak.
"Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.
"Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai serta mendapat rawatan pada 9 Julai. Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.
"Ujian COVID-19 didapati positif. Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin tenat. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai, jam 12.04 pagi," katanya.
Sementara itu, sebanyak 13 kes baru juga dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara setakat ini sebanyak 8,897.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 13 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan seorang rakyat tempatan dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.
"Tiga kes import tersebut adalah dari negara Pakistan, Kazakhstan dan Indonesia.
"Daripada 10 kes penularan di dalam negara, satu kes adalah di kalangan bukan warganegara manakala sembilan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia," katanya.
Dua pesakit kini dirawat di unit rawatan intensif (ICU), dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, enam pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan yang dibenarkan discaj sebanyak 8,600.
Seramai 173 pesakit masih dirawat di hospital.
