COVID-19: Banyak negara 'menuju ke arah yang salah' ‒ WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Isnin bahawa terlalu banyak negara telah ‘silap memberi respon’ mereka terhadap pandemik COVID-19, yang bermaksud dunia tidak akan kembali seperti biasa dalam waktu dekat.

Selepas mencatatkan 230,000 kes baru harian COVID-19 pada Ahad, agensi kesihatan PBB berkata pandemik itu hanya akan bertambah buruk kecuali orang yang berpegang pada asas-asas penjarakan sosial, mencuci tangan, memakai topeng dan duduk di rumah jika sakit.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengingatkan bahawa beberapa negara yang melonggarkan perintah berkurung kini menyaksikan peningkatan kes kerana mereka tidak mengikuti kaedah yang terbukti berjaya untuk mengurangkan risiko.

"Saya ingin berterus terang kepada anda: tidak akan kembalinya dunia ke kebiasaan lama untuk masa depan kelak," kata Tedros semasa taklimatnya dengan media.

"Terus terang saya kata: terlalu banyak negara menuju ke arah yang salah.

"Virus ini tetap menjadi musuh umum nombor 1, tetapi tindakan sesetengah kerajaan dan rakyat tidak mencerminkan ini."

Beliau berkata pesanan bercampur-campur dari pemimpin mengurangkan kepercayaan rakyat.

Sekiranya kerajaan tidak melancarkan strategi komprehensif untuk mengekang penularan virus, dan jika masyarakat tidak mengikuti asasnya, "hanya ada satu cara sahaja pandemik ini akan berlalu", kata Tedros.

"Ini akan menjadi lebih-lebih buruk dan teruk,” jelas Tedros.