KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian meminta orang ramai memberi kerjasama untuk ujian saringan COVID-19 secara rawak yang akan dilakukan oleh petugas kesihatan dalam usaha memerangi wabak memandangkan negeri itu kini dilanda gelombang kedua.

“Kita harap orang ramai tidak bimbang dan membantu petugas kesihatan semasa ujian saringan secara rawak di pasar basah, tadika, pra sekolah, tapak pembinaan dan perladangan serta semua yang berisiko tinggi atau titik panas yang berpotensi,” katanya dalam satu muat naik di laman Facebooknya, Sabtu.

Menurut Sim, kerajaan Sarawak telah menyediakan persediaan menghadapi gelombang kedua COVID-19 dengan ketibaan peralatan perlindungan diri (PPE) oleh pesawat kargo A330 dari China untuk kegunaan para petugas barisan hadapan.

Selain itu, katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah meningkatkan kapasiti ujian Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) kepada minimum 3,000 sehari daripada hanya ratusan sehari sebelum ini.

“Kapasiti ujian RT-PCR sebelum ini hanya beberapa ratus sehari, tetapi kini telah meningkat kepada minimum 3,000 sehari hasil sumbangan United War Sarawak, Perhutanan, Veterinar, Universiti, Pusat Penyelidikan Klinikal, sumbangan orang ramai dan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada empat buah hospital COVID-19 di Sarawak,” ujarnya.

Tegas Sim, rakyat tidak seharusnya mengharapkan usaha daripada pihak kesihatan atau kerajaan sahaja tetapi memainkan peranan masing-masing secara serius untuk membantu memutuskan rantaian COVID-19.

Sim turut meminta rakyat Sarawak untuk tidak menyebarkan dan menjadi mangsa berita palsu malah hendaklah saling bantu membantu sesama masyarakat yang terjejas berikutan wabak yang melanda kini.

“Virus ini merebak dengan cepat. Pihak berkuasa dan rakyat perlu bertindak lebih pantas! Ini bukan hanya slogan tetapi cogan kata setiap orang untuk bertindak. Setiap orang dari kita adalah barisan hadapan,” katanya.