MONGOLIA terkenal sebagai salah
satu negara terakhir yang memiliki budaya nomad, sebuah negara yang terletak bersempadan
dengan dua negara terbesar, China dan Rusia.
Sehingga kini, negara itu dianggap
sebagai negara yang telah berjaya menerapkan strategi menentang pandemik
COVID-19.
Mongolia mempunyai rekod luar
biasa. Sejak pandemik itu mula melanda, negara ini tidak mencatat satu pun kes
penularan tempatan di negara ini walaupun jumlah penduduk sebanyak 3.2 juta.
Sehingga Sabtu, Mongolia hanya
mencatat 262 kes positif COVID-19 dan tiada penduduk di negara itu yang meninggal
dunia akibat virus itu.
Daripada jumlah tersebut, 209 pesakit
telah sembuh.
Kebanyakan laporan memberitahu
semua kes di negara itu berasal dari warga asing atau dari penduduk yang baru
pulang dari luar negara (kes import).
Mongolia bersempadan dengan Rusia
di sebelah utara dan China di sebelah selatan, kedua-dua negara yang pernah
menjadi negara dengan jumlah kes tertinggi di dunia.
Pandemik COVID-19 bermula di
China – lebih tepat lagi, iaitu di Wuhan pada bulan Disember 2019.
Para pakar berkata keputusan
untuk menerapkan protokol kesihatan pada peringkkat awal dan sikap warganegara
yang mematuhi protokol tersebut menjadikan Mongolia berjaya menangani wabak
tersebut.
Ada pakar juga berkata "udara
yang bersih dan semangat Genghis Khan" telah membantu penduduk mengekang
penyakit ini.
Kuarantin dilaksanakan seawal Januari 2020
Dr Gendengarjaa Baigalimaa,
seorang pakar kanser di Hospital Mungun Guur di ibu kota Ulan Bator, berkata Mongolia
telah menerapkan protokol kesihatan sejak akhir Januari 2020.
Menurut catatan beliau di halaman
rasmi Universiti Stanford, Amerika Syarikat, Dr. Baigalimaa menjelaskan bahawa
sejak 25 Januari, kerajaan Mongolia menutup semua sekolah dan tadika, sesuatu
yang tidak pernah berlaku sebelumnya.
"Semua aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dilakukan melalui televisyen dan internet," kata Dr
Baigalimaa.
Pada pertengahan Februari, ketika
virus itu menular di China, kerajaan Mongolia mengambil langkah pencegahan,
termasuk membatalkan perayaan Tahun Baru.
Kerajaan juga melarang semua
perjalanan dari Ulan Batar ke wilayah di luar ibu kota.
Tambahnya, Mongolia menutup
sempadan China dan Rusia, untuk menghentikan kemasukan orang ramai, sama ada di
dalam atau di luar Mongolia.
Semua penerbangan antarabangsa
juga dilarang.
Rakyat Mongolia yang tinggal di
Korea Selatan, Jepun, Turki dan Rusia diminta untuk pulang. Setelah mereka tiba,
mereka harus dikuarantin selama 21 hari dan perlu menjalani beberapa
pemeriksaan kesihatan.
Penduduk mereka sudah memakai
topeng muka sejak November
Mereka sudah biasa menggunakan
topeng muka.
Topeng muka sudah dipakai sejak
awal November berikutan permulaan musim selesema dan ketika pencemaran udara
bertambah buruk.
Pada 25 Januari, kerajaan Mongolia
mewajibkan semua pegawai, kakitangan bank, dan semua penduduk yang berada di
kedai dan pasar di Ulan Bator memakai topeng muka.
Mereka yang tidak mematuhi arahan
tersebut akan didenda 54 AS dolar atau sekitar RM 200 lebih. Pemimpin
masyarakat dan pekerja kesihatan diarahkan untuk berkempen tentang keperluan
topeng muka dan amalan mencuci tangan dengan kerap.
Tempat awam turut disanitasi
selalu.
"Semua langkah ini sangat
membantu dalam menangani penyebaran COVID-19 dan pada masa yang sama dapat
membantu mengurangkan jumlah jangkitan selesema," kata Dr Baigalimaa.
Pegawai Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) di Ulan Bator, Sergey Diorditsa, berkata penutupan sempadan dan
pelaksanaan kuarantin wajib yang cepat dan pantas bagi penduduk yang pulang
dari luar negara menjadikan Mongolia berjaya mengekang penularan virus
berbahaya tersebut.
'Warisan semangat Genghis Khan'
Kejayaan Mongolia dalam mengekang
pandemik ini "juga disebabkan oleh sikap orang Mongolia yang diwarisi dari
Genghis Khan," kata penulis dan ahli ekonomi di Ulan Bator, Antonio
Graceffo, dalam catatan beliau di akhbar The
South China Morning Post.
Genghis Khan ialah seorang komandan
dan pengasas Empayar Mongol yang menakluki sebahagian besar Asia, termasuk
Parsi.
Seorang pakar perubatan
tradisional, Enkh-Ouyn Byambadorj, berkata penduduk Mongolia tidak pernah menyerah
dalam situasi apa pun, sifat yang dimiliki oleh tentera Genghis Khan ketika
melakukan perjalanan untuk menakluki negara yang terletak jauh.
"Sekiranya ada (makanan) daging,
maka makanlah daging, jika tidak ada daging, maka tidak ada masalah...,"
kata Byambadorj.
Beliau juga berkata gaya hidup sederhana,
udara bersih dan makan makanan segar dan susu juga menjadikan penduduk Mongolia
lebih kuat melawan COVID-19.
Dr Chinburen Jigjidsuren,
penasihat perdana menteri mengenai masalah kesihatan, menjelaskan bahawa
Genghis Khan telah mengembangkan sistem komunikasi yang efektif, menjadikan pesanan
disebarkan dengan cepat ke seluruh negara.
"[Di era moden ini] kita
melakukan hal yang sama, seperti yang dilakukan di era Genghis Khan. Pesanan
kerajaan di Ulan Bator dengan cepat disebarkan ke masyarakat nomad di wilayah terpencil,"
kata Dr Jigjidsuren.
Chinburen mempercayai kuarantin di
wilayah ini dan peraturan penggunaan topeng muka berkesan kerana penduduk
mengikuti peraturan ini.
"Tentera Genghis Khan sangat
berdisiplin. Semangat ini diwarisi oleh kita sekarang," katanya.
"Oleh itu, ketika kerajaan meminta penduduk memakai topeng atau tinggal di
rumah, mereka mematuhinya."
Ketaatan warga terhadap saranan
kerajaan juga dinyatakan oleh Baljmaa T, salah seorang rakyat di Ulan Bator.
Katanya, kerajaan dan penduduk
sama-sama bimbang dengan COVID-19 dan penduduk mematuhi semua protokol
kesihatan.
Penutupan sempadan, pembatalan
perjalanan antarabangsa, dan kuarantin wajib telah memberi kesan kepada ekonomi
negara itu.
Walau bagaimanapun, kerajaan telah
mengeluarkan sejumlah pakej rangsangan.
Badan statistik menganggarkan bahawa pertumbuhan ekonomi akan turun dengan mendadak kerana pandemik COVID-19.