JAKARTA: Kes COVID-19 di Indonesia mencatatkan 89,869 kes, dengan 1,655 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.

Jurucakap pemerintah Indonesia, Achmad Yurianto berkata 81 kematian baru dicatatkan dalam tempoh 24 jam mulai tengah hari ini, menjadikan jumlah kematian sebanyak 4,320.

"Sebanyak 44,003 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan melalui saluran YouTube rasmi BNPB Indonesia.

Provinsi Jawa Timur memiliki kes kematian paling banyak iaitu 1,461 kes, diikuti oleh Jakarta (748), Jawa Tengah (374), Sulawesi Selatan (284) dan provinsi lain-lain.

Jumlah kes COVID-19 tertinggi juga dicatatkan di provinsi itu, merekodkan 18,828 kes, sementara Jakarta hanya 17,279 kes.

Sementara itu, Achmad, yang sering menyampaikan perkembangan terkini COVID-19 di negara itu mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan tugasnya itu.

Beliau ingin menumpukan seluruh masanya untuk tugasnya sebagai ketua pengarah jabatan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, yang turut disandang beliau.

Ketua Staf Pakar Pasukan Petugas COVID-19, Wiku Adisasmito, akan mengambil alih tempat Achmad bermula hari ini.