KUCHING: Pasar Stutong di Tabuan Jaya di sini ditutup sementara
berikutan dua kes positif baharu yang dikesan dari pasar tersebut.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya
Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng (gambar) berkata, selepas mengesan
kes baharu di situ, MBKS segera menutup Pasar Stutong dan semua peniaga diarah
menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya.
Katanya, lebih 200 orang yang
bekerja di Pasar Stutong diarahkan untuk menjalani saringan COVID-19.
"Ia adalah lebih baik untuk
menyerahkan perkara ini kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk mengulas lebih lanjut
mengenai punca jangkitan.
"Saya gembira dengan tindak
balas penjaja di Pasar Stutong kerana memberi kerjasama dan menjalani saringan
di Klinik Kesihatan Petra Jaya dan jika semuanya berjalan lancar kita akan
menyerahkan kepada JKNS dan JPBNS untuk memutuskan bila pasar berkenaan boleh
dibuka semula," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Wee memberitahu,
kira-kira 60 orang dari Pasar Stutong menjalani saringan COVID-19 sebelum ini
dalam usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak ini dengan menyaksikan
dua individu dari kumpulan tersebut diuji positif virus tersebut.
"Jika ada sesiapa yang telah
pergi ke pasar itu dan menunjukkan gejala seperti demam, kesukaran bernafas,
sakit tekak dan batuk dinasihatkan untuk menjalani saringan," tambahnya
sambil menasihatkan orang ramai mengamalkan kebersihan yang disarankan sebagai
cara hidup baharu.
Buat masa sekarang, katanya,
Pasar Stutong akan dinyah cemar semula dengan teliti dan mematuhi prosedur yang
ditetapkan.
Selain itu, Wee memberitahu,
orang ramai dinasihati tidak bersikap sambil lewa berikutan jumlah kes baharu
di negara ini telah menurun dengan drastik kerana vaksin untuk virus ini belum
ada lagi.
"Tidak kira sama ada ia
adalah gelombang jangkitan COVID-19 kedua atau ketiga, virus ini masih wujud.
Kamu ada pilihan untuk tidak mendedahkan diri kepada virus itu.
"Apakah yang akan berlaku
jika kamu pembawa virus dan kamu menjangkiti ahli keluarga kamu. Jika apa-apa
berlaku, adakah kamu berfikir anda tidak berasa bersalah sepanjang hidup
kamu?," tegasnya lagi.
Sebagai majlis bandaraya, Wee
berkata, mereka ada kewajipan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang
awam dan beliau memberitahu negara yang menghadapi wabak baharu kebanyakannya
tidak mengambil langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka.
"Kami berharap sebagai majlis bandaraya, kami memainkan peranan kami dan pada masa sama orang ramai memainkan peranan mereka kerana kita sama-sama menghadapi keadaan ini," ujarnya sambil menambah orang ramai tidak harus rasa takut menjalani saringan COVID-19. – UB