COVID-19: Sarawak kesan sumber penularan dalam tempatan selepas peningkatan mendadak


KUCHING, 29 Julai 一 Pihak berkuasa kesihatan di Sarawak sedang mengesan sumber kes baru COVID-19 berikutan peningkatan mendadak kes penularan tempatan.

"Kami berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat (daripada pengesanan kontak) dan berharap dapat mengenal pasti sumber penularan ini tidak lama lagi," kata pengarah kesihatan negeri, Dr Chin Zin Hing, di sini, semalam.

Sarawak mencatatkan 25 kes baru semalam, jumlah kes baru ketiga tertinggi yang dilaporkan dalam satu hari di negeri itu.

Daripada jumlah tersebut, empat kes adalah kes import.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan sebelum ini di negeri itu adalah kes import.

Beliau berkata terdapat kes-kes tertentu di mana ada individu yang melakukan penerbangan dari luar negera ke Sarawak didapati negatif ketika mereka transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Namun, mereka disahkan positif setelah ujian RT-PCR dilakukan pada mereka ketika mereka tiba di Sarawak," katanya, sambil menambah bahawa Kuching sekarang telah diisytiharkan sebagai zon merah.

Uggah juga berkata kerajaan negeri telah meningkatkan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan untuk mencegah pendatang asing tanpa izin masuk secara haram dan menyebarkan virus di kalangan masyarakat.

Sehingga kini, 675 kes positif telah dilaporkan di Sarawak. Jumlah kematian kekal pada 19.