KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengemukakan usul agar Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof disingkirkan sebagai speaker Dewan Rakyat.
Bercakap di sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata terdapat pencalonan lain untuk jawatan itu.
Bagaimanapun, pembangkang berkata perbahasan mesti diadakan sebelum perkara itu diundi.
Pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim mendesak kerajaan untuk tidak bertindak terburu-buru, sambil menambah bahawa ini adalah kali pertama berlaku situasi seperti itu.
"Ini soal besar dan bukan teknikal," katanya.
“Apa salah Mohamad Ariff sehingga ia ditukarkan?"
Anwar juga mengkritik langkah untuk mengurangkan penyertaan dalam perbahasan itu kepada dua ahli parlimen, dengan pihak pembangkang diberikan hanya 10 minit.
Ahli parlimen yang lain meminta timbalan speaker, Datuk Rashid Hasnon untuk membuat keputusan atas permintaan Anwar.
Rashid gagal meredakan pertikaman lidah itu sehingga Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu memanggil beliau ‘bodoh’.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo kemudian membangkitkan Peraturan Mesyuarat 3 yang mempertikaikan keperluan usul berkenaan dibentangkan.
Beliau berkata, tiada keperluan usul itu dibawa Muhyiddin memandangkan tidak berlaku kekosongan kerusi Speaker.
Menteri Undang-undang, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata Muhyiddin pada 16 Jun telah mengemukakan usul yang telah disetujui oleh speaker sendiri.