KUALA
LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terkedu apabila 'disekolahkan' Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) apabila Mahathir menentang pertukaran speaker dewan rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Mereka berkata demikian
semasa membahaskan usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan
Mohamad Ariff selaku speaker di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Shahidan, semua perkara ini tidak akan berlaku sekiranya Mahathir tidak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari yang lalu.
"Semua ini berlaku
kerana Tun, kerana Langkawi yang berhenti. Sebab itu berlaku pertukaran
speaker.
"Kami BN, PAS, GPS
diminta untuk menyokong Tun sebagai perdana menteri tetapi sayangnya Tun
mengundurkan diri sehingga kami terpaksa memilih orang lain.
"Ketika Tun berhenti,
kami tidak mempunyai pilihan selain memilih Pagoh (Muhyiddin) sebagai perdana
menteri," kata Shahidan Kassim (BN-Arau) ketika membahaskan usul tersebut.
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kemudian menegaskan bahawa UMNO juga mahukan Mahathir meneruskan khidmatnya perdana menteri.
"Kami tidak paksa Tun berhenti. Kami mahu Tun lagi. Tapi sudah berhenti, terimalah.
"Kerajaan baru ditubuhkan, maka perdana menteri hendakkan pasukan dia yang baru. Bukan soal apa salah.
"Dulu Tun lantik juga outsider, apa ini, SPRM Latheefa Koya lah, Tommy Thomas 'rock and roll' lah. Macam-macam. Tak juga kita pertikaikan.
"Kita bukan marah dengan speaker yang ada. Tapi, perdana menteri nakkan speaker yang sehaluan dengan hala tuju dia, hala tuju kerajaan untuk kepentingan rakyat," katanya.
Shahidan kemudian meminta
Mahathir untuk memberi penjelasan. Bekas perdana menteri itu
menegaskan bahawa beliau tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.
"Saya pilih-pilih juga dengan
siapa yang saya nak kerjasama. Apabila saya diberi pilihan untuk bekerjasama dengan
UMNO dan UMNO pada masa itu, bukanlah UMNO yang ditubuh dahulu.
"UMNO itu sudah dirampas oleh orang tertentu. Dan saya tak boleh kerjasama dengan
UMNO. Sebab itu saya tak boleh terima," kata Mahathir, yang pernah memimpin UMNO selama 22 tahun.
Bung Moktar kemudian
berdiri dan memaklumkan bahawa mereka hanya mengikuti teladan Mahathir.
"UMNO satu saja. Dulu, Tun yang ajar kami macam mana nak jalankan UMNO, kami ikut Tun punya ajaran," katanya.
Sebelumnya, Mahathir juga telah membahaskan usul berhubung penyingkiran Mohamad Ariff.
Dia berpendapat bahawa
memiliki "calon lain" bukanlah alasan yang sah untuk menyingkirkan speaker.
"Sekiranya meninggal dunia atau jika dia terlalu uzur untuk bekerja, maka ya, tetapi ini kerana dia mempunyai calon yang
berbeza.
"Saya juga mempunyai
calon perdana menteri yang berbeza," kata Mahathir.
Usul tersebut akhirnya diputuskan dengan 111 menyokong dan 109 menentang, dengan satu ahli parlimen (PBS-Kota Marudu), Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili tidak hadir kerana dimasukkan ke hospital. 1 lagi ahli parlimen (Bersatu-Batu Pahat), Datuk Rashid Hasnon yang juga timbalan speaker tidak dapat mengundi kerana mempengerusikan sidang parlimen.