MANILA, 31 Julai -- Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Jumaat memberitahu rakyatnya bahawa mereka harus menggunakan petrol sebagai disinfeksi untuk pelitup muka – dan menekankan bahawa nasihatnya itu bukan satu gurauan.
Pemimpin itu pada minggu lalu pernah membuat kenyataan yang sama berhubung penggunaan petrol pada pelitup muka jika agen pembersih tidak ada, namun jurucakapnya menganggap ianya satu gurauan dan mengingatkan rakyat bahawa Duterte sering bergurau dalam sesuatu perkara.
"Apa yang saya katakan itu benar," kata Duterte semasa berucap di televisyen pada Jumaat.
"Pergi saja ke stesen minyak, lalu titiskan sedikit, itu adalah disinfeksi.
"Saya tidak bergurau. Ini benar. Anda fikir saya hanya bergurau," katanya.
Pemakaian pelitup muka telah diwajibkan di Filipina sejak Mac.
Sehingga Jumaat, negara itu mencatatkan sebanyak 93,354 kes positif COVID-19 dan 2,023 kematian.
Pada hari yang sama, negara itu melaporkan kes baru COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 4,063 kes ketika Duterte melanjutkan sekatan untuk mengekang penyebaran virus itu, dan berjanji keadaan akan kembali seperti biasa pada Disember.
Namun, pakar perubatan berkata petuanya itu tidak digalakkan.
"Anda tidak boleh menggunakan petrol sebagai disinfeksi. Menghidunya boleh mendatangkan bahaya dan boleh menyebabkan lebih banyak masalah seperti penyakit pernafasan," kata Jose Santiago, Presiden Persatuan Perubatan Filipina.
Pakar kesihatan mengesyorkan sabun dan air untuk membersihkan pelitup muka jenis fabrik yang dapat digunakan semula, dan 70% etil atau isopropil alkohol untuk disinfeksi yang betul.
Kali pertama Duterte mencadangkan penggunaan petrol pada pelitup muka, beberapa penentang beliau menganggap ianya nasihat yang berbahaya.
"JANGAN CUBA INI DI RUMAH," kata Senator Risa Hontiveros di Twitter.
"SEMAK FAKTA: Gasolin dan diesel tidak boleh digunakan dalam disinfeksi.”