KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Salah satu perlumbaan paling berprestij dalam kejohanan motosikal dunia, MotoGP Malaysia, telah dibatalkan kerana wabak COVID-19.
Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini hingga 1 November.
Badan-badan mengetuai MotoGP, Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports, berkata GP Argentina dan Thailand juga dibatalkan.
Namun, perlumbaan GP tambahan akan diadakan di Eropah pada 20 hingga 22 November sebagai musim akhir, menjadikan perlumbaan pada 2020 di Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengakui kecewa dengan pembatalan MotoGP Malaysia.
"Kami sememangnya kecewa dengan pembatalan ini terutama mahu menyaksikan aksi pelumba tempatan seperti Kasma Daniel, Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin dan pasukan Petronas Sepang Racing Team yang bermula baik musim ini.
"Namun dengan perkembangan semasa COVID-19, keselamatan semua pihak menjadi keutamaan. Kami tidak mahu mempertaruhkan kesihatan setiap individu yang terbabit.
Beliau menambah: "Saya pasti ia menjadi berita sedih untuk peminat MotoGP di Malaysia dan juga seluruh dunia yang sentiasa memberi sokongan kepada penganjuran GP Malaysia.
"Kami dapat saksikan peningkatan jumlah kehadiran penonton di MotoGP Malaysia dari tahun ke tahun dan kami berterima kasih kepada semua peminat dan rakan penaja yang sentiasa memberikan sokongan.
"Perkara paling terbaik untuk dilakukan ketika ini adalah terus memberi sokongan kepada pelumba dan pasukan negara yang beraksi di kejohanan itu. Kami berharap dapat menganjurkannya dengan lebih baik pada 2021.
Malaysia tidak pernah gagal menganjurkan perlumbaan berprestij itu sejak 1991 dengan SIC menganjurkan MotoGP Malaysia sejak 1999.