PUTRAJAYA: Pemantauan harga ayam semasa oleh
Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) mendapati, harga runcit ayam standard telah mula menunjukkan
trend penurunan di pasar besar dan pasar raya, bermula 1 hingga 17 Julai.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar
Halim Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, trend berkenaan adalah
selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup, yang menunjukkan penurunan
harga pada minggu kedua Julai antara RM4.50/kg hingga RM5.40/kg, daripada
minggu pertama iaitu RM5.20/kg hingga RM6.10/kg.
“Harga ayam standard pada Julai 2020 adalah
antara RM8.00/kg hingga RM8.50/kg dan telah menurun pada minggu kedua dengan
harga RM7.60/kg hingga RM7.90/kg,” katanya lagi.
Iskandar Halim berkata, KPDNHEP akan terus
memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran, supaya pengguna dapat
memperoleh ayam dengan harga yang berpatutan.
Tambah beliau, KPDNHEP telah melaksanakan
pemeriksaan kenaikan harga ayam, ekoran aduan yang diterima daripada orang
ramai pada 15 Jun lepas.
Jelas Iskandar Halim, pemantauan dilaksanakan
di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) 2011, untuk
mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan
harga ayam, serta mengesan sekiranya wujud aktiviti pencatutan.
Katanya, sebanyak lapan kertas siasatan telah
dibuka ke atas peniaga-peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut
dalam pemeriksaan yang dilaksanakan dalam tempoh 17 Jun hingga 30 Jun.
“Semua kertas siasatan tersebut sedang dalam
siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian, sebelum dirujuk kepada
Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP,” tambahnya lagi.
Jelas Iskandar Halim, lapan kes ini melibatkan empat peruncit di pasar awam Melaka dan empat pemborong ayam, iaitu satu di Melaka dan tiga lagi di Kuala Lumpur. Semua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1) AKHAP. – BERNAMA