JEMPOL:
Ketua
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jempol, Karip Mohd Salleh yang digantung
keahlian pada April lalu mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.
Selain Karip, turut
mengisytiharkan keluar parti ialah 25 ahli jawatankuasa tertinggi serta
lantikan cabang itu termasuk Timbalan Ketuanya, Halim A Aziz; Naib Ketua I,
T.Murly; Timbalan Ketua Wanita, Norizan Musa; mantan Ketua Angkatan Muda
Keadilan (AMK) Jempol, Abdul Harris Zulkifli dan pemangku Ketua AMK Jempol, Nur
Akmal Idzwan Wahid.
Karip berkata, keputusan
itu dibuat selepas masing-masing sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan
parti dalam mengemudi saf kepimpinan sama ada ada di peringkat persekutuan atau
pun negeri.
"Pimpinan PKR
gagal menangani kemelut dalaman parti sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan
Harapan (PH) tumbang.
"Pemecatan dan
penggantungan anggota yang berterusan juga adalah langkah sumbang PKR dalam
menarik minat rakyat untuk bersama," katanya pada sidang akhbar di Pejabat
PKR Jempol di sini hari ini.
Mereka turut
mengumumkan bahawa mereka akan memberikan sokongan padu kepada kerajaan
Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Karip
berkata, beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan parti menggantung
keahliannya sejak April lalu.
Selain beliau, katanya,
Timbalannya dan Naib Ketua I juga digantung keahlian pada Jun dan Mei lalu.
"Saya tidak akan
membuat rayuan terhadap pengantungan ini kepada pihak displin parti dan sebulat
suara bersama AJK terlibat untuk keluar parti hari ini," katanya.
Beliau turut
menjangkakan terdapat 300 hingga 400 ahli PKR Jempol akan mengambil keputusan
sama meninggalkan parti dalam masa terdekat.
Mengenai perancangan masa depan, Karip berkata, pihaknya akan menyertai Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Sembilan.
