KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad sekali lagi keluar dari sidang Dewan Rakyat hari ini setelah beliau bertikam dengan Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Khalid mungkin berang apabila beliau diberi amaran oleh Nik Muhammad Zawawi bahawa beliau akan kehilangan kerusi kawasannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Kita bertanding dan tentunya Shah Alam berada di Shah Alam dan bukannya di dewan ini.

“Shah Alam kena tunggu dan Shah Alam ingat apa yang saya sebut dalam sedikit masa lagi Shah Alam akan tahu di mana tempat duduk Shah Alam,” kata Nik Muhammad Zawawi.

Sebaik sahaja Nik Muhammad Zawawi menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Khalid dilihat meninggalkan Dewan Rakyat secara senyap.

Tindakan itu disedari oleh Ahli Parlimen Jempol, Datuk Haji Salim Sharif.

“Shah Alam dah lari dah,” kata Salim.

“Tak lari, jalan je,” jawab Khalid sebelum meninggalkan Dewan Rakyat.

Isnin lalu, Khalid mencatatkan sejarah sebagai Ahli Parlimen pertama yang diarahkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu, Datuk Azhar Azizan Harun untuk keluar dewan kerana mengganggu ucapannya.

Sebelum perbahasannya dicelah oleh Khalid, Nik Muhammad Zawawi merakamkan penghargaan terhadap semua Ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional (PN) yang sanggup mengorbankan kepentingan dalam parti masing-masing demi menjayakan gagasan yang mulia itu.

“Rakan-rakan dalam UMNO khususnya berkorban banyak, sanggup mengorbankan kepentingan bagi memastikan gagasan yang mulia dan penting dalam pembangunan negara berlaku,” jelasnya.

Malah, beliau berpandangan, penyatuan parti-parti politik dalam PN berupaya dijadikan model di peringkat dunia khususnya di negara-negara Arab yang menyambut baik penubuhan kerajaan PN.