PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan rasa bimbang dengan situasi perkembangan COVID-19 kebelakangan ini berikutan jumlah kes harian yang didapati terus meningkat, terutamanya kes penularan di dalam negara.
"Sebelum ini, jumlah kes aktif telah menurun kepada 63 kes, iaitu pada 9 Julai 2020. Namun ia mula meningkat dan jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai 2020 dan kini ianya mencecah 130 kes," katanya.
Sehingga Selasa, terdapat 19 kluster yang masih aktif, di mana kira-kira 13 kluster baharu diumumkan dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini.
"Tiga daripada 13 kluster ini adalah berkaitan dengan penularan tempatan kes COVID-19 daripada kes import iaitu Kluster PUI Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa.
"Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan memandangkan ianya melibatkan kluster terpencil di dalam sebuah kapal yang sedang berlabuh," tambahnya lagi.
Beliau turut berkata pihak kementerian kesihatan menyambut baik keputusan mesyuarat khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi, iaitu mewajibkan prosedur kuarantin wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan. Prosedur ini akan berkuatkuasa Jumaat ini.
"Namun begitu, harus diingat bahawa terdapat juga sembilan kluster lain yang merupakan penularan berkaitan kes tempatan di dalam negara, dan tidak berkaitan dengan kes import. Ini menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," jelas Dr Noor Hisham lagi.
Sementara itu, beliau turut bimbang dengan masyarakat yang dirasakan beliau sudah mula tidak memberi perhatian kepada kepentingan melindungi warga emas daripada jangkitan COVID-19.
Beliau berkata orang ramai sewajarnya mengamalkan langkah pencegahan jangkitan terutamanya memakai pelitup separuh muka, amalan kebersihan tangan yang tinggi serta jarakan sosial apabila berada dalam kalangan golongan ini.
“Setakat 12 tengah hari tadi, 69.1 peratus daripada keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah dalam kalangan warga emas. Tambahan pula, baru-baru ini telah dilaporkan satu lagi kes kematian COVID-19 melibatkan warga emas iaitu daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang.
“Setakat ini, kluster itu telah melaporkan 11 warga emas yang dikesan positif COVID-19,” katanya.
Dr Noor Hisham turut menggesa ahli masyarakat, khususnya keluarga serta penjaga memastikan golongan tersebut sentiasa dilindungi daripada jangkitan COVID-19.