Muhyiddin di sidang Dewan Rakyat pada Isnin lepas.
KUALA
LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara
tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu,
selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan
depan.
Turut menang tanpa
bertanding (tidak rasmi) Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak Datuk
Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.
Semakan di laman
sesawang rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu itu menyatakan
kedua-dua jawatan tertinggi parti itu masing-masing, hanya mempunyai seorang
calon.
Bagaimanapun Pengerusi
JPP Tan Sri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Bernama berkata, pengumuman
secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai
kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada Ogos ini.
“Secara rasmi tiada
calon lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kerana pencalonan sudah
ditutup, namun pengumuman rasmi (keputusan) hanya akan dibuat selepas selesai
mesyuarat bahagian,” katanya.
Jawatankuasa pemilihan
itu hari ini mengadakan proses cabutan nombor calon di ibu pejabat parti bagi
calon-calon yang layak bertanding, di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi
(MPT), Armada dan Srikandi.
Senarai nombor calon
itu boleh diakses semua calon dan ahli melalui laman sesawang rasmi JPP Bersatu
di http://pribumibersatu.org.my/sys/index.php/calon_mpt.
Dalam pada itu, seramai
17 calon disenarai bertanding bagi jawatan Naib Presiden, antaranya Menteri
Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Jawatan Ketua Armada
pula menyaksikan perebutan dua calon iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan
Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Exco Armada Muzzamil Ismail.
Jawatan Ketua Srikandi
menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan penyandangnya yang juga Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua
Bersatu Bahagian Kepala Batas Datuk Azlina Mehtab Mohd Ishak, Datin Iza Ismail
dan Zuhuraina Makmur.
Bagi MPT, seramai 163
calon bertanding jawatan tersebut.
Persidangan semua
bahagian Bersatu akan diadakan serentak pada 22 Ogos yang turut berlangsung
pemilihan untuk jawatan tertinggi parti. Persidangan Armada bahagian pula
dijadualkan pada 15 Ogos manakala 16 Ogos merupakan persidangan Srikandi
bahagian, dengan kedua-dua sayap akan memilih pimpinan tertinggi peringkat
pusat sewaktu persidangan bahagian.
Sementara itu semakan
di laman sesawang tersebut mendapati tiada calon bagi jawatan Pengerusi Parti
itu.
Pada 16 Mac lepas, Tun
Dr Mahathir Mohamad disahkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu,
selepas bekas perdana menteri itu tidak dicabar untuk jawatan berkenaan,
setelah proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli MPT ditutup.
Bagaimanapun, keahlian
Dr Mahathir dan empat lagi Ahli Parlimen iaitu Timbalan Presiden Bersatu Datuk
Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Ahli MPT Dr Maszlee Malik, Ketua Armada Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta,
selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen, 18 Mei
lalu.
Sewaktu penamaan calon
untuk jawatan MPT, Mukhriz juga telah diumumkan akan mencabar Muhyiddin untuk
jawatan Presiden parti, manakala bagi jawatan Timbalan Presiden melibatkan
pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Faizal, bekas Setiausaha Agung parti
Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Armada Selangor yang juga Ketua Armada
Ampang Anas Akashah Nazri.
Sementara itu, Syed
Hamid Albar dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat
calon-calon untuk mencetak nama mereka seperti dikenali umum, pada senarai
calon rasmi yang akan diedarkan ke semua bahagian.
Katanya ini termasuk
gelaran darjah kebesaran dan gelaran akademik.
“Calon-calon yang berhasrat melakukan perubahan untuk cetakan rasmi nama calon mereka, bolehlah memaklumkan kepada JPP secara bertulis melalui email jpp.bersatu@gmail.com sebelum 25 Julai 2020,” tambahnya. – BERNAMA