KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan sikap berat sebelah ahli parlimen pembangkang yang mempertikai keputusan mahkamah menangguhkan kes perbicaraan beliau minggu lepas atas permintaan speaker Dewan Rakyat.
Najib menjelaskan bahawa perbicaraan presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa lalu pernah ditangguhkan setiap kali sidang parlimen dengan alasan beliau perlu menghadirinya.
Perbicaraan rasuah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah ditangguhkan selama dua bulan pada tahun 2018 dengan alasan pihak pembela menuntut agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.
"Nampak jelas sangat bahawa bakal PM5/6/7/8/9 boleh tangguhkan perbicaraan berbulan-bulan dengan alasan dia mahu hadir parlimen.
"Guan Eng boleh tangguh perbicaraan berbulan-bulan dengan alasan dia mahu tulis surat
"Tetapi Najib tak boleh pendekkan perbicaraan dari 5 petang ke 3:15 petang dengan syarat perbicaraan diteruskan masa makan tengah hari supaya saya boleh membahas dalam parlimen" tulisnya di Facebook.
"Buat apa kamu mahu pertikaikan perbicaraan hari itu dipendekkan 1 jam 45 minit kerana kita batalkan rehat makan tengah hari pada hari itu?" katanya.
Najib berkata, “orang PH” tidak senang hati dengan perbahasannya hari itu.
“Seorang pun tak mencelah atau berani menyangkal apa yang saya bentang masa itu tetapi sekarang mereka mempertikaikan kenapa pula hakim memendekkan sesi perbicaraan hari itu," katanya.
Terdahulu, speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan bahawa beliau telah mengarahkan mahkamah untuk menangguhkan prosiding kes 1MDB Najib untuk membolehkan beliau menyertai perbahasan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
Beliau berkata beliau hanya menulis surat kepada hakim, meminta pertimbangan diberikan kepada Najib, yang merupakan ahli parlimen Pekan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah pada Khamis menangguhkan prosiding lebih awal, iaitu pada 3.15 petang bagi membolehkan Najib menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas menerima surat daripada Azhar.