KOTA KINABALU, 29 Julai ― Seakan-akan mengakui kerajaan Sabah yang diterajui Warisan hilang kuasa, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking menggesa pilihan raya negeri diadakan di Sabah selepas bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
Leiking turut menyerang ADUN Warisan yang menyokong gabungan baru Musa dengan menyifatkannya sebagai “pengkhianatan besar”.
Ahli Parlimen Penampang dan bekas menteri persekutuan itu terkejut dengan dakwaan ADUN berpaling tadah daripada kerajaan negeri pimpinan Warisan, selepas menyuarakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Ini ialah pengkhianatan besar kepada mandat yang diberikan rakyat Sabah sejak 2 tahun lalu.
“Mereka berulang kali menyuarakan kesetiaan dan menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong ketua menteri dan kerajaan negeri yang sah serta ia pelik untuk melihat mereka membuat pusingan U.
“Walaupun kami terkejut dengan apa yang dilaporkan berlaku, saya secara peribadi percaya pilihan raya negeri perlu diadakan,” katanya.
Terdahulu, Musa petang tadi mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.
Beliau mendakwa mendapat sokongan mencukupi daripada ADUN Warisan, PKR, PPBM, STAR, PBS dan UMNO.
Katanya, beliau akan menemui Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tidak lama lagi untuk menyerahkan SD ditandatangani ADUN yang menyokongnya.
Antara ADUN yang menghadiri sidang media Musa hari ini ialah Kenny Chua (PKR-Inanam), Ronnie Loh daripada DAP (ADUN dilantik), Osman Jamal (Warisan-Balung), Hamisa Samat (Warisan-Tanjung Batu), Musbah Jamli (Warisan-Tempasuk), Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas), Anita Baranting (Warisan-Tandek) serta Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan).
Leiking berkata, kem Musa mungkin mengingatkan Warisan berhubung rampasan kuasa daripada Barisan Nasional melalui pembelotan ADUN selepas pilihan raya umum lalu.
“Tetapi, ini berlainan kerana ini ialah kerajaan memerintah dan hanya selepas 2 tahun, orang-orang ini (ADUN) dikatakan akan meninggalkan kerajaan.
“Mari kembali kepada rakyat untuk lihat jika mereka setuju dengan apa yang mereka lakukan atau sebaliknya.”