ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dari
Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi akan dilantik
menjadi Ketua Pembangkang DUN Kedah yang baharu dalam sesi persidangan yang
akan berlangsung pada Ogos ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH)
Kedah, Datuk Johari Abdul menjelaskan, keputusan melantik Pengerusi Amanah
Kedah itu dibuat setelah mendapat persetujuan kesemua 11 ADUN yang mewakili
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP di negeri itu.
Tambah beliau, PH Kedah juga akan
menubuhkan porfolio yang merangkumi enam kluster utama dalam menjadi ejen
pemantau terhadap tahap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di negeri itu.
Menurutnya, antara kluster yang
akan diwujudkan adalah kluster Sumber Alam, kluster Ekonomi, kluster
Pembangunan Infrastruktur, kluster Sosial dan Agama, kluster Urustadbir
Kerajaan dan Badan-Bukan Kerajaan serta kluster Sumber Manusia.
"Kita bercadang untuk adakan
portfolio. Kita dah ada (calon) cuma kita nak pastikan siapakah yang akan
menjadi ketua portfolio ini supaya bila kita membangkang kita juga mencadang
apakah program-program yang kita rasa harus diberi perhatian dalam kerajaan sekarang
supaya kita nak mengelakkan daripada kita berpolitik sepanjang masa tetapi
meninggalkan hasrat sebenarnya kita memerintah adalah untuk memastikan rakyat
terbela," katanya.
Johari berkata demikian ketika
sidang media Pelancaran Jawatankuasa Pakatan Harapan peringkat Parlimen Kedah,
di Dewan Parti Amanah Negara, Alor Setar pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan
jawatankuasa yang ditubuhkan PH Kedah di peringkat parlimen serta portfolio di
peringkat DUN tidak akan melibatkan bekas-bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Maknanya, kita (PH)
menerima lima orang wakil rakyat ahli parlimen daripada Bersatu (beserta Tun
Mahathir) tu sebagai sebahagian dari pembangkang sekarang.
"Itu sebab mereka berada di blok
pembangkang, jadi sebagai (ADUN) peringkat negeri, dia akan balik sebagai ahli
parlimen kawasan dia tapi tidak dalam coalition kita (gabungan PH Kedah)"
Dalam perkembangan sama, kesemua
ADUN Pakatan Harapan Kedah akan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan PN
negeri berhubung isu cadangan pertukaran Speaker DUN dalam sesi persidangan
akan datang.
Sementara itu, PH Kedah
menyasarkan untuk memenangi lebih daripada tujuh kerusi Parlimen yang dimiliki
ketika ini jika Pilihanraya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.
Johari berkata keyakinan itu
disuarakan selepas melihat reaksi balas rakyat yang mahukan perubahan berlaku
dalam tampuk pemerintahan negara serta mengembalikan semula mandat yang
diberikan dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Susulan itu, jelas beliau,
jentera-jentera PH dari peringkat tertinggi sehingga ke peringkat akar umbi
telah pun digerakkan lebih awal menerusi penubuhan Jawatankuasa PH samada di
peringkat parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Saya rasa rakyat bersedia
untuk buat perubahan apabila pilihanraya ini dipanggil nanti (parlimen
dibubarkan), sudah tentu kita akan sapu bersih, insya-Allah kita akan tuntut
(semula kemenangan kita), (itu sudah) tentu"
PH ketika ini memiliki tujuh
kerusi Parlimen di negeri Kedah menerusi PKR (enam kerusi) dan Amanah (satu
kerusi).
Bekas Ahli Parlimen Bersatu turut
memiliki tiga kerusi parlimen di negeri Jelapang Padi itu termasuk Tun Dr
Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Datuk
Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Manakala mewakili gabungan
Perikatan Nasional (PN), Pas memiliki tiga kerusi iaitu di Pendang, Sik dan
Jerai manakala Barisan Nasional dengan dua kerusi iaitu di Padang Terap dan
Baling.