SINGAPURA, 26 Julai -- Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sebelum ini pernah merancang untuk melepaskan jawatannya itu apabila beliau mencecah usia 70 tahun.

Namun, beliau akur bahawa pandemik COVID-19 mungkin mempunyai rancangan yang berlainan untuknya, pada Sabtu.

Semasa mengumumkan barisan Kabinet baharu semalam, ketika ditanya sama ada harapannya itu bercanggah dengan janji kepada para pengundi semasa kempen pilihan raya baru-baru ini, Hsien Loong berkata beliau meluahkan harapan agar beliau boleh menyerahkan pucuk kepimpinan negara menjelang hari lahirnya yang ke-70.

"Namun, bukan saya yang menentukan hala tuju pandemik COVID-19 dan ia juga akan bergantung kepada perkembangan semasa," katanya.

Ketika itu, Hsien Loong berkata bahawa beliau akan terus memimpin negara itu mengharungi krisis COVID-19 dan akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pemimpin generasi keempat dalam keadaan yang kukuh dan mantap sebelum bersara daripada politik.

"Apa yang boleh saya katakan ialah saya akan memimpin negara mengharungi krisis ini dan akan menyerahkan pucuk kepimpinan negara ini dalam keadaan yang kukuh dan mantap kepada pasukan seterusnya secepat mungkin dan kepada pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa," jelasnya.

Beliau meluahkan hasratnya untuk melepaskan jawatan perdana menteri sebelum berusia 70 tahun sejak seawal 2017 lagi.

Dalam wawancaranya bersama CNBC pada Oktober tahun lalu, beliau berkata beliau sudah bersedia untuk melepaskan jawatannya, namun, beliau perlu memastikan pemimpin seterusnya sudah benar-benar bersedia untuk mengambil alih.

Seawal November tahun lalu, semasa Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP), PM Lee berkata walaupun beliau memimpin parti itu untuk Pilihan Raya Umum, pasukan pemimpin generasi keempat yang akan menjalankan sebahagian besar tugas.

Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat, seperti yang dijangkakan ramai, akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong selepas beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP pada November 2019.

Apabila ditanya sama ada pemimpin generasi keempat atau 4G sudah berbincang atau menilai semula Swee Keat sebagai pengganti Hsien Loong, beliau merujuk soalan itu kepada Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing, yang juga Penolong Setiausaha Agung Kedua PAP.