KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah
menyatakan kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam
pertemuan beliau bersama pimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua
Zhong).
“Berhubung isu pengiktirafan
Unified Examination Certificate (UEC) yang dibangkitkan dalam pertemuan
pimpinan Hua Zhong bersama YAB Perdana Menteri pada 16 Julai 2020, ingin
dijelaskan bahawa YAB Perdana Menteri tidak menyatakan kerajaan akan
mengiktiraf sijil UEC,” menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di
sini pagi ini.
Kenyataan itu menyatakan, Perdana
Menteri sebaliknya menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian,
apabila kerajaan pada masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), dalam bidang pengkhususan Bahasa
Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Menurut kenyataan itu juga,
kerajaan pada tahun 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program
PISMP, dalam bidang Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian, dalam Bahasa
Melayu.
“YAB Perdana Menteri juga
menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan, sekiranya mahu
dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan,” menurut
kenyataan itu lagi.
Terdahulu turut dilaporkan
dakwaan Hua Zhong bahawa Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari
nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.
Menurut pertubuhan itu, Muhyiddin menyatakan harapan itu semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen beberapa hari lepas. – BERNAMA