Polis Sarawak siap sedia jika PKP dilaksanakan semula


KUCHING, 26 Julai ─ Polis Sarawak bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika prosedur pengendalian standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan semula. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya hanya menunggu pengumuman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) untuk melakukan penguatkuasaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini. 

"Kita memang telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. JPBN akan mengumumkan tindakan untuk membendung penularan wabak ini dan kita bersedia untuk menguatkuasakannya," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Dalam pada itu, Aidi memberitahu, sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPP, seramai 1,178 individu dikompaun di negeri ini. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, kerajaan akan melaksanakan semula PKP jika kes COVID-19 kembali mencecah tiga angka.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan semula PKP fasa satu itu bagi membendung penularan pandemik.

"Kalau sudah mencapai tiga angka, kita tidak mempunyai pilihan lain dan akan memperkenalkan semula PKP dan kita akan melihat perkara ini.

"Saya memahami kalau PKP ini dikuatkuasakan semula, ia akan menyukarkan semua pihak termasuk kita yang mahu bekerja dan sebagainya," kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peningkatan kes COVID-19 di negara ini sejak kebelakangan ini.

Beliau juga berkata peningkatan semula kes jangkitan kepada dua angka berpunca daripada kealpaan masyarakat termasuk melanggar SOP

"Esok akan ada satu mesyuarat membincangkan pelbagai perkara dan sekiranya kerajaan akan memutuskan pelbagai perkara, rakyat mestilah mematuhi SOP itu nanti."