Ismail Sabri menunjukkan contoh sarung tangan pakai buang yang boleh digunakan oleh pengusaha premis makanan untuk menghidang makanan secara buffet kepada pelanggan.
KUALA
LUMPUR: Pengusaha premis makanan perlu ada pramusaji atau
sarung tangan pakai buang bagi kegunaan pelanggan, sekiranya menghidang makanan
secara buffet.
Menteri Kanan (Kluster
Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, mana-mana pengusaha
yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) itu berdepan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Jelasnya, ketika ini,
masih terdapat premis-premis makanan yang menghidangkan makanan secara buffet
tanpa pramusaji ataupun penyediaan sarung tangan pakai buang semasa mengambil
makanan.
"Restoran-restoran,
hotel-hotel, kafe-kafe, ini mula dibuka, dan kita dapati banyak kes di mana
apabila buffet disediakan, peraturan yang baharu banyak tidak dipatuhi.
"Dua peraturan
perlu dipatuhi apabila menyediakan hidangan secara buffet. Pertama mesti disaji
oleh pramusaji sebab kita tak nak senduk itu dipegang atau sediakan sarung
tangan plastik nipis. Tidak semestinya sarung tangan mahal. Namun, ia tidak
boleh bergilir, mesti pakai buang,"katanya dalam sidang media di bangunan
parlimen pada Khamis.
Justeru, beliau
mengingatkan semua pengusaha premis makanan termasuk di hotel agar patuh dengan
SOP ditetapkan.
"Saya harap restoran dan kantin patuh kepada apa yang disaran oleh KKM dan MKN ini. Kalau tak patuh, maka Akta 342 digunakan dan mereka boleh dikompaun atau didakwa di mahkamah. SOP ini mudah dan harap semua patuh," tambahnya.