KUCHING:
Sambutan Hari Sarawak tahun ini bertemakan 'Sarawak Cemerlang' akan diadakan
secara maya dan disiarkan secara langsung melalui pelbagai platform media
sosial dari Bandaraya Miri pada 22 Julai minggu depan.
Menteri Pengangkutan
Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang bertanggungjawab dalam sambutan itu, berkata
jumlah kehadiran di lokasa acara di sebuah hotel terkemuka di bandar ini juga
terhad kepada 250 orang, seperti yang dinyatakan dalam Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Sambutan Hari
Sarawak tahun ini sangat berbeza kerana isu global pandemik COVID-19, namun, ia
tetap diharapkan dapat meriah dan bermakna.
"Akan ada berbagai-bagai
program yang diadakan menggunakan platform digital yang telah diatur oleh
penganjur utama, iaitu Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri," katanya
pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, sambutan itu
akan disiarkan secara langsung melalui dua stesen televisyen swasta dan
platform media sosial Unit Komunikasi
Awam Sarawak (UKAS), tvSarawak
dan Sarawak Event Channel mulai jam 9
malam pada hari itu.
Lee berkata antara simbolik
perayaan itu termasuk tarian pembukaan yang memaparkan gabungan tarian
tradisional Sarawak dan persembahan Digital
Light Balance, diikuti dengan pembukaan simbolik yang menampilkan
pengembaraan Kenyalang Emas yang merentasi
seluruh Sarawak.
Sebuah dokumentari khas
bertajuk Marek Kinek Tok & Kelak
yang memaparkan sejarah Sarawak, persembahan lagu serta segmen mengenai
'Aspirasi Rakyat' juga akan diadakan.
Persembahan lain
termasuk sitkom bertajuk Kampung Selepar
Putus, Kebanggaan Kamek, lagu
khas Tok Bok Sarawak dan medley Sarawakku Sayang dan Pertiwiku Tercinta oleh koir seramai 40
orang yang diiringi oleh orkestra.
"Saya juga
mengambil kesempatan ini untuk meminta rakyat Sarawak mengibarkan bendera
negeri di rumah atau di kedai dan sebagainya bersempena Hari Sarawak,"
katanya.
Kerajaan negeri telah menetapkan Hari Sarawak untuk disambut setiap 22 Julai sejak 2016 oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. Beliau turut mewartakan hari tersebut sebagai cuti umum untuk memperingati tarikh gabenor penjajah Inggeris yang terakhir, Sir Alexander Waddell secara simbolik menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada penduduk tempatan pada tahun 1963.