KUALA LUMPUR, 25 Julai: Seorang lelaki Bangladesh yang tampil dalam program Al Jazeera mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia semasa wabak COVID-19 berkata bahawa beliau tidak melakukan sebarang jenayah atau berbohong ketika ditemu ramah oleh media itu.
Menurut laporan The Daily Star, Md Rayhan Kabir, sebelum penangkapannya semalam, berkata beliau hanya berbicara mengenai diskriminasi terhadap pendatang.
"Saya mahu maruah pendatang dan negara saya terjamin. Saya percaya semua pendatang dan Bangladesh akan bersama saya," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dalam satu kenyataan bahawa pihak berkuasa berjaya menahan Rayhan, 25, yang telah mereka kesan sejak 7 Julai berkaitan dengan siasatan mereka di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Laporan Al Jazeera mengenai dakwaan perlakuan buruk pihak berkuasa terhadap PATI di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), untuk menahan pandemi Covid-19, mencetuskan kemarahan pemimpin kerajaan dan rakyat, dengan laporan polis dibuat terhadap media asing itu.
Putrajaya telah menuntut agar Al Jazeera meminta maaf atas dokumentari tersebut, tetapi berkata laporan itu seimbang walaupun gagal mendapat sambutan pemimpin kerajaan.
Al Jazeera disiasat atas pelbagai kesalahan, termasuk hasutan, fitnah dan penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak betul.