Syed Saddiq terima layanan baik SPRM selepas dakwaan ‘penyiksaan psikologi’

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya di sebalik kritikan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Bekas ketua Pemuda PPBM itu berkata, beliau mengambil maklum mengenai kenyataan Tabung Amanah Teoh Beng Hock untuk Demokrasi (Amanah TBH) yang mengkritik SPRM bahawa soal siasat yang dijalankan agensi itu selama 11 jam terhadapnya merupakan “penyiksaan psikologi”.

“Saya ingin menjelaskan bahawa dalam sesi siasatan terhadap saya, pegawai SPRM menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan profesional dan menurut lunas undang-undang.

“Malah, saya memberi kebenaran untuk sesi siasatan pada 17 Julai 2020 diteruskan selepas waktu bekerja bagi membantu SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menghargai kesungguhan Amanah TBH dalam memastikan ketelusan siasatan SPRM.

“Berikan SPRM ruang secukupnya untuk menyiasat. Sesungguhnya kebenaran akan ditegakkan pada akhirnya.”

Pada Khamis, dalam kenyataan di media sosial, Syed Saddiq memberitahu bahawa beliau dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang tunai lebih RM250,000 di kediamannya di Petaling Jaya, Mac lalu.

Dalam hantaran di Twitter, Syed Saddiq berkata, beliau terpaksa meninggalkan persidangan Parlimen lebih awal kerana dipanggil oleh agensi tersebut bagi membantu siasatan.

“Saya sedia dan sentiasa berikan kerjasama penuh kepada SPRM. Saya, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga saya juga telah lama isytihar harta untuk jamin ketelusan kami semua.

“Saya sentiasa berlaku jujur dan berani kerana benar,” katanya..