OLEH: SENATOR PROF EMERITUS TAN
SRI DR IBRAHIM SHAH ABU SHAH
PARLIMEN Malaysia bersidang buat
kali pertama pada 13 Julai 2020, selepas kita menghadapi wabak COVID-19 yang
melanda seluruh dunia.
Ini juga merupakan sidang pertama
selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin
Yassin mengambil alih tapuk pentadbiran negara pada 1 Mac 2020.
Sudah pasti pelbagai isu dan
program pembangunan rakyat akan dibincangkan melalui sidang Parlimen pada kali
ini.
Saya meneliti dan menganalisa
peristiwa yang berlaku pada hari pertama (13 Julai 2020) sidang pada kali ini
apabila dewan begitu kecoh dan gamat akibat daripada usul Perdana Menteri
meminta agar bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof
untuk mengosongkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Datuk Azhar Azizan
Harun.
Walaupun pihak pembangkang
membangkitkan berkaitan Peraturan 4 (Peraturan-Peraturan Mesyuarat): Aturan
Memilih Tuan Yang di-Pertua, isu ini tidak seharusnya timbul kerana usul untuk
menukar Yang Dipertua telah dihantar kepada Yang Dipertua lebih dari 14 hari
awal dan diterima untuk dibincangkan pada sesi Parlimen kali ini.
Saya memohon dan ingin
menasihatkan kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat agar menerima proses
pertukaran Yang Dipertua dengan hati yang terbuka kerana ia merupakan proses
dan amalan biasa yang berlaku pada setiap kerajaan yang memerintah.
Sepatutnya, kesemua ahli Yang
Berhormat menyokong usaha ini sebagai tanda mereka menghormati institusi
Parlimen sebagaimana yang mereka minta sewaktu mereka menjadi kerajaan satu
ketika dahulu.
Perdana Menteri sebagai ketua
kerajaan, sudah pasti akan memilih pasukannya yang tersendiri bagi melicinkan
proses pentadbiran dan hala tuju kerajaan.
Selama 22 bulan kerajaan Pakatan
Harapan (PH) memerintah, mereka juga telah menukar jawatan-jawatan penting
kerajaan kepada pendokong mereka seperti Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan-timbalannya dan banyak lagi.
Ini sudah pasti merupakan proses
dan amalan biasa bagi memastikan agenda kerajaan pada waktu itu dapat
diperkasakan.
Saya juga mengambil kesempatan
ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohamad
Arif atas jasa dan sumbangan selama menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Penulis ialah salah seorang Ahli Dewan Negara.
**Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Suara Kini.