KUALA LUMPUR: UMNO telah mengabaikan tuntutan mahkamah terhadap sembilan Ahli Parlimen yang berhijrah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kedua-dua parti itu kini menjadi rakan dalam gabungan Perikatan Nasional.

"Kami sekarang telah menjadi rakan politik," kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di luar Mahkamah Tinggi dekat sini hari ini.

"Saya telah mengarahkan peguam kami untuk gugurkan tuntutan itu."

Zahid tahun lepas berkata tuntutan itu dibuat demi kepentingan parti.

Tindakan dibuat terhadap Mustapa Mohamed (Jeli), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Hamzah Zainuddin (Larut), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

UMNO menuntut ganti rugi RM200,000 daripada setiap seorang.

Seramai 13 ahli Parlimen termasuk 4 dari Sabah berhijrah ke PPBM semasa ia menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan yang dipimpin bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada 1 Mac, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin umum keluar PH dan mengangkat sumpah perdana menteri selepas mendapat sokongan PPBM, Umno, PAS, Parti Gabungan Sarawak dan beberapa wakil rakyat termasuk bekas pemimpin PKR.

Mustapa kembali ke Kabinet sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hamzah dilantik menteri dalam negeri, dan Abdul Latiff dilantik menteri pembangunan luar bandar.

Sementara itu, Ikmal dilantik timbalan menteri pertahanan, Muslimin dilantik timbalan menteri pendidikan, Noor Azmi dilantik timbalan menteri kesihatan, Rosol dilantik timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, dan Mas Ermieyati dilantik timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Perbicaraan 9 kes itu, difailkan di Mahkamah Tinggi seluruh negara, belum bermula kerana bantahan awal daripada pihak terlibat.