KUCHING: Kerajaan diminta untuk mewajibkan penggunaan topeng muka di kawasan berisiko tinggi untuk mengekang penularan COVID-19, gesa Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.
Beliau berkata kawasan berisiko tinggi ini termasuk pasar, klinik dan hospital, pusat beli-belah, sekolah, pengangkutan awam, dewan orang ramai dan tempat tertutup di mana orang berkumpul untuk jangka masa panjang dan di mana interaksi tidak dapat dielakkan.
Kelvin, yang juga merupakan bekas pesakit COVID-19, menambah bahawa kira-kira 75 negara di seluruh dunia mewajibkan pemakaian topeng di khalayak umum. Penduduk yang gagal mematuhi arahan akan dikenakan denda. Negara-negara tersebut termasuk Jerman, Republik Czech, Slovakia, Austria, Qatar, Korea Selatan, Perancis, Sepanyol, Turki dan Venezuela.
Oleh kerana kira-kira 70 peratus pesakit COVID-19 di Malaysia tidak bergejala, penggunaan topeng muka menjadi lebih penting, tambah Kelvin.
"Ini kerana ramai yang mungkin tidak tahu bahawa mereka telah dijangkiti dan mungkin secara tidak sengaja menyebarkan virus ini.
"Topeng muka sebenarnya dicipta untuk melindungi orang lain selain pemakainya. SOP terkini mungkin tidak mencukupi termasuk pengambilan suhu di kebanyakan tempat awam, yang tidak dapat mengenal pasti pembawa virus terutama jika mereka tidak bergejala.
"Itulah sebabnya perlindungan tambahan harus dipertingkatkan lagi terutama terhadap titisan, yang merupakan sumber utama penyebaran virus," kata Kelvin dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa amalan ini dapat membantu mengurangkan penyebaran COVID-19.
Satu kajian baru-baru ini juga menunjukkan bahawa walaupun hanya 80 peratus penduduk memakai topeng muka, tindakan itu sendiri akan membantu mengurangkan penyebaran COVID-19 selain penguatkuasaan perintah berkurung.
Untuk mendorong lebih ramai rakyat Malaysia memakai topeng, Kelvin berkata, kerajaan harus berusaha menjadikan topeng muka berpatutan, termasuk mengkaji semula harga silingnya.
"Sangat kesal bahawa topeng muka percuma yang dijanjikan oleh kerjaan persekutuan tidak mencapai sebahagian besar sasarannya kerana banyak yang mengadu tidak menerimanya hingga sekarang.
"Kerajaan juga harus menyediakan topeng muka terutama di sekolah untuk memberikan perlindungan lebihan bagi generasi muda kita, para guru dan staf di sekolah," tambahnya.
Beliau juga meminta kerajaan untuk memberikan insentif kepada pengeluar topeng muka tempatan untuk meningkatkan hasil dan untuk mendidik masyarakat tentang penggunaan topeng muka kain bukan langkah yang tepat.
Kelvin menambah bahawa dengan sebahagian negeri, terutama Kuching yang melihat lonjakan kes COVID-19, kerajaan harus meningkatkan lebih banyak perlindungan untuk menghindari kemungkinan munculnya gelombang kedua wabak itu.