KUALA LUMPUR, 20 Ogos  -- Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah masuk hari ke-156 dan hari ke-72 ianya dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ramai lagi individu yang didapati ingkar arahan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga semalam, seramai 91 dikompaun manakala 26 lagi direman kerana mengingkari arahan PKP.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (37), tidak memakai pelitup muka (lapan), premis beroperasi lebih masa (dua), menjalankan aktiviti pelacuran (24), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (46),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata Pasukan Petugas  Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,369 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan  pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.

Menurutnya, sebanyak 4,799 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,438 anggota telah membuat pemantauan di 3,988 pasar raya; 5,731 restoran; 1,500 penjaja; 1,692 kilang; 3,907 bank dan 1,033 pejabat kerajaan.

Beliau berkata sebanyak 1,124 terminal pengangkutan darat, 212 terminal pengangkutan air dan 139 terminal pengangkutan udara turut dipantau.

Ismail berkata dalam Operasi Benteng yang dilaksana dalam usaha mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin, sebanyak 64 sekatan jalan raya diadakan dan sebanyak 25,333 kenderaan diperiksa dan tiada warga asing ditahan atas kesalahan imigresen.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 401 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua mereka didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurutnya dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 14,048 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 67 hotel serta lima Institut Latihan Awam dan daripada jumlah itu, seramai 43 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 6,316 lagi didiscaj dan dibenarkan pulang. 

Ismail berkata semalam juga sebanyak 32 tapak binaan di seluruh negara dibuat pemeriksaan dan daripada hasil pemeriksaan, kesemua tapak binaan tersebut mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bagi barang keperluan asas, berdasarkan pemantauan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi, katanya.

Beliau berkata hasil pemantauan KPDNHEP ke atas 980 premis, 11 daripadanya telah diberi nasihat, manakala 1 lagi diberi amaran kerana tidak patuh SOP.