KUALA LUMPUR, 15 Ogos -- Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, polis menahan 129 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-151.
Ismail berkata, daripada 129 individu yang ditahan semalam, 20 orang direman, manakala 109 lagi dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (21 orang) serta gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar dan masuk (55 orang).
“Selain itu, gagal memakai sarung tangan semasa menggunting rambut pelanggan (1 kes), tidak memakai pelitup muka (21 orang) serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail berkata, menerusi Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang dijalankan, polis membuat 64,058 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 4,875 pasukan pematuhan melibatkan 16,801 anggota membuat pemantauan di 3,900 pasar raya, 5,283 restoran serta 1,681 penjaja, 1,523 kilang, 3,568 bank dan 1,095 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,230 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 114 terminal pengangkutan udara,” katanya.
Pada masa sama, Ismail berkata, semalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan pemeriksaan di 74 tapak binaan di seluruh negara, yang melibatkan 52 anggota penguatkuasa.
“Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB mendapati 73 tapak binaan patuh SOP yang ditetapkan, manakala 1 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran,” katanya.