KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Polis menahan seramai 180 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari ke-144 pelaksanaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 16 direman manakala 164 lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkana bahawa pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam melakukan pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 707 premis perniagaan termasuk peruncit, pemborong dan pengilang (30).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya dalam kenyataan media beliau hari ini.

Katanya, KPDNHEP turut melakukan 2,643 pemeriksaan khas pematuhan SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan mendapati 2,551 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 87 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

“Sebanyak 5 premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya.

Katanya, sejak 24 Julai hingga semalam seramai 7,364 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua ditempatkan di 30 hotel dan 5 institut latihan awam (ILA) di seluruh negara.

Mereka pulang dari 30 negara dan perlu menjalani kuarantin wajib.

Sementara itu, beliau berkata, tiga rakyat asing ditahan atas kesalahan Imigresen.

"PDRM telah membuat 61 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng (Op Benteng di seluruh negara dan memeriksa 31,184 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegasnya.