KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Sesi perbahasan sebelah petang di Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terus bergasak sesama sendiri mengenai isu seorang menteri yang tidak dikurantin setelah pulang dari Turki.
Ketegangan bermula sejak pagi dengan pembangkang berulang kali menuntut penjelasan berhubung ketidakadilan hukuman antara rakyat dan seorang menteri yang melanggar perintah kuarantin.
Perkara ini berlanjutan selepas makan tengah hari ketika Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) mengkritik kerajaan PH terdahulu kerana gagal "menguruskan" industri minyak sawit pada masa itu.
Shahidan berkata harga komoditi sawit telah menurun tahun lalu berbanding sekarang.
RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan mendakwa Shahidan cuba mengelirukan Dewan Rakyat.
"Tanya Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang terlibat dengan ekonomi negara," katanya.
Kemudian, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bangun untuk mempertahankan pertumbuhan sektor kelapa sawit di bawah kerajaan Perikatan Nasional.
Rayer memberitahu Azeez untuk tidak mencelah. "Duduklah Baling, kamu pencuri orang tau."
Azeez menjawab: "Bapa awak punya duit ke saya curi? Cakaplah, kalau bapa awak punya duit saya curi, awak cakap sekarang. Ada saya curi duit bapa awak."
Mikrofon ditutup untuk menenangkan keadaan.
Perbahasan kemudiannya diteruskan dengan beberapa Ahli Parlimen meneruskan giliran mereka berbahas.
Sebelum itu, pada sebelah pagi, Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan terdapat 18 Ahli Parlimen akan mengambil giliran untuk berbahas mengenai RUU berkenaan.