GENEVA, 5 Ogos – Para belia atau golongan muda seluruh dunia mesti mengekang keinginan untuk berpesta bagi membantu mencegah penularan COVID-19, kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.

Bosan dengan penutupan dan ingin menikmati musim panas, golongan muda di beberapa negara telah menyumbang kepada peningkatan kes dengan berkumpul lagi untuk pesta, barbeku dan percutian.

Bahkan di Geneva, di mana pusat badan kesihatan PBB terletak, kabaret dan kelab ditutup minggu lalu setelah hampir separuh kes baru COVID-19 berasal dari sana.

"Golongan muda juga perlu mengambil iktibar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab," kata Ketua Eksekutif Program Kesihatan Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan.

“Tanya diri sendiri: adakah saya perlu ke pesta itu?"

Golongan muda kurang berisiko mengalami bentuk penyakit pernafasan yang teruk berbanding ibu bapa atau datuk dan nenek mereka, tetapi data WHO menunjukkan kes melibatkan individu berusia 15-24 tahun telah meningkat tiga kali ganda kira-kira lima bulan.

Ryan berkata, golongan muda berdiam diri untuk memberikan maklumat mereka atau mendedahkan nama rakan untuk mengesan kontak.

"Itu sukar tetapi inilah yang diperlukan untuk mengekang virus," katanya.

Memetik surat khabar Switzerland, terdapat sebuah kelab malam di Zurich, antara kawasan yang dikenali penyebab kemunculan kes baru COVID-19, menyaksikan para pengunjung pesta telah memberikan pelbagai nama palsu termasuk "Donald Duck".