KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Salah seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Tariq Ismail Mustafa telah mengumumkan keluar parti itu petang tadi.

Tariq berkata, parti Bersatu telah hilang matlamat asalnya untuk menentang korupsi dan salah guna kuasa untuk membentuk bangsa serta negara yang bermaruah dan berintegriti.

"Bagi saya secara peribadi, arah tuju ini harus mengharungi jalan yang berliku dan berduri, seiring dengan perjuangan yang bermaruah.

"Di atas dasar ini, dan sejajar keperibadian saya, saya dengan ini meletak sebagai ahli Bersatu berkuatkuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tariq juga sempat mengucapkan penghargaan kepada presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap pucuk pimpinan parti terutama presiden parti, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas kepercayaan yang telah ditunjukkan kepada saya sebagai budak politik berhingus, dan juga di atas segala tunjuk ajar di dalam selok-belok berpolitik," jelasnya.

Untuk rekod, Tariq menyertai Bersatu pada 2016.

Beliau juga merupakan cucu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Beliau telah mengikut jejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang turut mengumumkan keluar parti hari ini.

Shaid juga mendakwa parti itu tersasar dari matlamat asalnya untuk melawan kerajaan kleptokrat.

Katanya, beliau sekarang akan menjadi ADUN Bebas yang akan menyokong bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Langkah itu diambil setelah Mahathir semalam berkata beliau akan menubuhkan parti politik Melayu baharu yang bebas.

Beliau berkata, parti baharu itu akan bersifat inklusif dan sederhana, sambil menambah bahawa parti Melayu lain seperti UMNO, PAS dan Bersatu telah tersasar dari matlamat asalnya.

"Sebabnya kerana UMNO, PAS dan Bersatu sudah lari dari perjuangan asal berkenaan politik orang Melayu," katanya pada sidang media penubuhan parti baharu itu di Bangunan Yayasan Al-Bukhary, semalam.