KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- Ally Mukhriz, anak perempuan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, telah meminta maaf kerana ingkar kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau menjelaskan bahawa tindakannya itu sebagai "tidak bertanggungjawab".

Dalam satu siaran di Instagram beliau, Ally atau nama sebenarnya Meera Alyanna Mukhriz berkata bahawa beliau berasa kesal yang telah menyusahkan keluarga dan rakan-rakannya.

"Benarlah saya yang bersalah dan patut pun anda berasa kecewa tetapi tidak sebesar kekecewaan dan kekesalan yang saya rasai ketika ini.

"Sejujurnya, saya menyesal. Bukan sahaja kerana saya cuai melanggari larangan pergerakan selepas tengah malam, malah bersikap tidak bertanggungjawab di kala kita semua sedang diancam pandemik," tulisnya.

Pada Sabtu lalu, Ally dan suaminya, Ezran Daud Cheah dan dua rakannya tealah ke sebuah kelab malam di Salute, Taman Tun Dr Ismail untuk meraikan ulang tahun kelahiran sahabat beliau.

"Sekitar pukul 1.30 pagi, polis memasuki premis dan kami ditahan kerana melanggar peraturan PKPP. Di balai polis, saya bersama 29 yang lain telah diambil keterangan.

"Kira-kira 5.30 pagi, kesemua kami telah dikenakan denda RM1,000 seorang dan dibenarkan pulang. Setakat hari Selasa, 25 Ogos, kami suami isteri telah melunaskan denda yang telah dikenakan itu," jelas Ally.

Permohonan maaf itu sehari selepas bapa Ally, Mukhriz mengesahkan bahawa anaknya itu dan menantunya telah ditahan polis pada Sabtu lalu.

Mukhriz berkata beliau amat kecewa dengan kelakuan anaknya itu.

"Saya sudah pesan kepada semua ahli keluarga supaya tidak melanggar SOP ketika musim PKPP ini, memanglah rasa kecewa, perlanggaran itu tetap berlaku.