PAGOH, 8 Ogos -- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan rakyat Malaysia untuk mematuhi sepenuhnya SOP dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19, sambil menjelaskan bahawa semua pihak perlu menganggap diri mereka sebagai petugas barisan hadapan (frontliner).

Beliau berkata, negara perlu sentiasa berwaspada untuk mengelakkan kemunculan kluster baru yang akan menyaksikan peningkatan jumlah kes positif.

"Memang tidak dapat dinafikan bahawa trend peningkatan kes dan pertambahan kluster baru-baru ini berpunca daripada ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP.

"Saya mengambil contoh situasi ketidakpatuhan kepada perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah di kalangan sekumpulan kecil individu, yang sepatutnya dikuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara. Tetapi, mereka tidak mengamalkan amalan sebegitu.

"Mereka melanggar perintah ini bukan sahaja membahayakan ahli keluarga, saudara mara mereka, malah turut mendedahkan masyarakat setempat kepada jangkitan COVID-19 ini," katanya ketika melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu, di sini, hari ini.

Muhyiddin juga berkata, pihak berkuasa bersedia untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti setempat sekiranya terdapat peningkatan kes baru secara mendadak di kawasan-kawasan tertentu.

Beliau juga berkata Malaysia bersedia untuk membantu menghasilkan vaksin COVID-19 bersama dengan negara-negara lain di peringkat antarabangsa.

Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah menubuhkan pasukan petugas rentas sempadan pada bulan April untuk meneroka peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan negara-negara lain dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin serta ubat-ubatan COVID-19.

“Marilah kita terus membudayakan norma baru dalam kehidupan harian kita. Tanpa kerjasama saudara dan saudari sekalian, adalah agak mustahil untuk kita berjaya menamatkan terus rantaian jangkitan COVID-19 ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah serta dif-dif kenamaan lain.