JOHOR BAHRU, 1 Ogos -- Baru hari pertama pemakaian pelitup muka diwajibkan dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak tumpuan umum, sudah ada rakyat yang dikompaun kerana gagal mematuhi peraturan tersebut.
Sebanyak 26 kompaun dikeluarkan terhadap orang awam di Kota Tinggi kerana gagal memakai pelitup muka.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora, kompaun itu dikeluarkan susulan operasi dijalankan di pantai awam Batu Layar, Bayu Damai dekat sini.
“Kesemua mereka didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan pendemik COVID-19.
“Mereka telah dimaklumkan mengenai kesalahan itu dan kompaun bernilai RM1,000 diberikan mengikut Perkara 10, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No 7) 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hussin, polis memberi amaran keras malah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP berkenaan.
Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sesiapa yang gagal mematuhi arahan tersebut.
Di bawah akta itu, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama oleh mahkamah. Mereka yang didapati melakukan kesalahan berulang berdepan hukuman lebih berat.
Peraturan ini diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis, 23 Julai lalu.
Menurut beliau, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka selepas mendapati trend jangkitan COVID-19 semakin meningkat manakala kadar pematuhan orang awam terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) semakin diabaikan.
“Prosedur operasi standard di tempat awam yang sesak terutama yang tertutup juga didapati tidak diendahkan segelintir pihak. Oleh itu, kerajaan telah membuat keputusan mulai 1 Ogos 2020, pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak adalah diwajibkan,” katanya.