Biden pilih Kamala Harris sebagai gandingan

WASHINGTON, 13 Ogos -- Calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Demokrat, Joe Biden hari ini mengumumkan memilih senator California, Kamala Devi Harris sebagai pasangan bagi calon naib presiden AS beliau.

“Saya dengan penuh rasa hormat ingin mengumumkan bahawa saya telah memilih Kamala Harris sebagai pasangan wakil presiden saya,” menurut catatan Twitter Biden.

Beliau menggambarkan Harris sebagai seorang "pejuang yang tidak kenal erti rasa takut untuk si kecil, dan salah seorang penjawat awam yang terbaik di negara".

Tidak lama kemudian, Harris turut membuat catatan, “Saya rasa dihormati untuk bergabung dengan beliau (Biden) sebagai calon Naib Presiden parti kami (Demokrat).”

Harris, 55, ialah orang Asia-Amerika pertama dan wanita kulit hitam pertama dalam sejarah Amerika yang menjadi calon presiden atau naib presiden bagi salah satu daripada dua parti politik utama di AS. Ibu Harris dilahirkan di India manakala ayahnya dilahirkan di Jamaica.

Harris hanyalah orang kulit hitam kedua setelah bekas presiden AS, Barack Obama dan wanita keempat menjadi calon pilihan raya daripada dua parti utama.

Sekiranya beliau dan Biden memenangi pilihan raya pada November ini, beliau akan menjadi warga Asia-Amerika, wanita pertama dari mana-mana kaum atau etnik dan orang kulit hitam kedua dalam sejarah AS yang menjadi naib presiden atau presiden.

Pada pilihan raya presiden kali ini, Donald Trump yang merupakan calon Parti Republikan dan penyandang jawatan akan ditentang oleh calon Parti Demokrat, Biden.

Pilihan raya kali ini juga merupakan yang terakhir boleh disertai oleh Trump kerana Perlembagaan Amerika Syarikat tidak membenarkan seseorang presiden memegang jawatan lebih daripada dua penggal.

Sekiranya Trump menang, beliau akan menjadi Presiden Amerika Syarikat bagi penggal kedua sehingga tahun 2025.  

Sebaliknya jika Biden menang, maka beliau akan dilantik sebagai presiden baru menggantikan Trump. - SuaraKini