KUCHING, 1 Ogos -- Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata beliau berasa "dikhianati" setelah menaruh kepercayaan yang tinggi kepada ADUN Padungan, Wong King Wei untuk mewakili DAP di kawasan itu.
Chong juga meluahkan rasa kecewa apabila menerima mesej daripada Wong yang enggan menarik balik perletakan jawatannya dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).
"Kepada penyokong dan pengundi kami di Padungan, saya ingin meminta maaf atas nama parti kerana telah salah mempercayai Wong King Wei untuk mewakili DAP di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, perletakan jawatan Wong bukan hanya mengecewakan banyak pihak, tetapi juga telah melukai parti memandangkan Sarawak di ambang pilihan raya negeri.
"Beliau telah menggunakan naratif SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) untuk menyerang parti sebagai alasannya untuk membenarkan peletakan jawatannya.
Chong berkata beliau telah menaruh kepercayaan besar kepada Wong selama ini dan bahawa parti itu telah melayannya dengan baik, memberinya peluang untuk bertanding di Padungan pada pilihan Raya negeri tahun 2011 dan 2016, sebuah kerusi yang dianggap oleh semua orang sebagai kubu kuat DAP.
Chong bagaimanapun memberi jaminan kepada penyokong dan pengundi DAP bahawa di sebalik perkara itu, parti itu akan terus maju dan terus memperjuangkan hak serta faedah rakyat berdasarkan prinsip parti itu.
Sementara itu, pada 26 Julai, Wong telah membuat pengumuman mengejutkan mengenai pengunduran dirinya dari parti itu dan juga menolak untuk dinamakan semula sebagai calon kerusi Padungan.
Dalam kenyataanya, beliau telah menyatakan kekecewaannya atas penolakan DAP untuk mendengarkan suara yang tidak setuju dan kurangnya keterlibatan dalam pendapat dan pandangan.
Dua hari yang lalu, ketika ditemui semasa berjalan di sekitar India Street dan Carpenter Street untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi, Wong menolak permintaan Chong untuk mempertimbangkan semula keputusannya untuk keluar dari parti itu.
Beliau berkata pengundurannya dari DAP adalah pilihan peribadi untuk kehidupan, kerjaya dan masa depannya, yang beliau yakin akan membuka jalan menuju "kehidupan yang lebih bahagia".