Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Sebanyak 14 kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan dua kes penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata angka terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,999 kes.

Manakala, jumlah keseluruhan kes yang maut akibat wabak kekal 125 kes.

“Daripada 13 kes penularan di dalam negara, kesemua 13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata 11 kes dikesan daripada Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga di Kedah.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 17 kes telah pulih daripada COVID-19.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh kini 8,664 kes iaitu 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 210 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” tambahnya.

Sehingga kini, dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Status terkini kluster PUI Sivagangga di Kedah

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 313 orang telah disaring daripada kluster ini.

"Daripada jumlah ini, 20 kes dikesan positif COVID-19, dan 280 negatif, dan 13 kes masih menunggu keputusan ujian.

"Daripada kes positif yang dilaporkan, sebanyak 15 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan lima (5) kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia," katanya.

Pada Ahad, kluster ini mencatatkan 11 lagi kes positif.

"Lapan kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8975, iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur tujuh tahun. Kes-8975 merupakan kes generasi pertama­.

"Tiga kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8976, iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur 10 tahun. Kes-8976 merupakan kes generasi pertama­," jelas Dr Noor Hisham.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan.

Beliau juga berkata Pejabat Kesihatan Daerah akan melakukan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif untuk mencegah penularan.

"Aktiviti pembersihan dan nyahkuman dilaksanakan di semua premis termasuklah sekolah yang terlibat dan rumah kes yang dikesan positif," katanya.