KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Malaysia merekodkan 20 kes baharu COVID-19 hari ini melibatkan tujuh kes import dan 13 kes penularan dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 9,149 kes.
"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 196 kes," katanya.
Menurutnya, tujuh kes import terdiri daripada enam warga tempatan dan seorang warga asing.
Tujuh kes import tersebut adalah dari negara Lubnan (tiga kes), Indonesia, Perancis, Yaman dan Taiwan masing-masing satu kes.
Beliau berkata, sebanyak 11 kes baharu dilaporkan dari kluster Tawar.
Kluster ini turut merebak ke negeri Pulau Pinang.
"...10 kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang (iaitu kes ke-9149).
"Adalah dimaklumkan bahawa kes ke-9129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang daripada sebuah pusat perubatan swasta, namun kes ini kekal didaftarkan sebagai kes di negeri Kedah," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, seramai 261 orang telah disaring dari kluster ini dan hasilnya mendapati seramai 21 individu dikesan positif.
Beliau turut memaklumkan satu lagi kluster baru di kesan di negeri Kedah, yang dikenali sebagai Kluster Muda.
"Satu kluster baharu dikesan di Daerah Kuala Muda, Kedah.
"Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9114) adalah lelaki warganegara Malaysia yang merupakan seorang anggota polis. Kes yang dilaporkan pada hari ini (kes ke-9147) adalah merupakan rakan kerja kepada kes indeks," katanya.
Sementara itu, beliau berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan.
"Jumlah kumulatif kes kematian adalah 125 kes bersamaan 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
"Sehingga kini, empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Tambahnya lagi, tujuh kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini.
"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,828 kes (96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya. - SuaraKini