KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Sebanyak 7 kes baharu positif COVID-19 direkodkan di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan 9,070 kes dan tiada kematian sehingga jam 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga rakyat Malaysia dan tiga bukan warganegara.
Menurutnya, semua individu yang disahkan positif itu sudah diasingkan untuk pengawasan dan rawatan lanjut dengan jumlah kumulatif kes aktif telah menurun sehingga 170 kes.
"Enam kes import tersebut adalah dari negara China, Yaman, Myanmar, Jepun, Pakistan, dan Mexico.
"Hanya satu kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia, iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan. Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Mei. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini hanya dua pesakit yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, jumlah kematian akibat COVIDD-19 masih kekal 125 kes selepas tiada kematian direkodkan hari ini dan 47 kes sudah pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 8,775 kes.
Status terkini kluster PUI Sivagangga
Tiada kes baharu yang dilaporkan hari ini daripada kluster PUI Sivagangga.
"Sehingga 8 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 4,198 orang telah disaring dalam kluster ini. Bilangan saringan ini merangkumi saringan dari negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
"Daripada jumlah ini, 43 kes dikesan positif COVID-19, 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan," kata Dr Noor Hisham.
Beliau berkata saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster ini akan diteruskan.
Beliau juga berkata langkah-langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar akan dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berkait rapat dengan kluster tersebut.
Sementara itu, beliau juga meminta masyarakat untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat berhubung situasi terkini kluster itu. - SuaraKini
