KUALA LUMPUR, 1 Ogos -- Sebanyak sembilan kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan dua kes penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata angka terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,985 kes.
Manakala, jumlah keseluruhan kes yang maut akibat wabak kekal 125 kes.
“Daripada dua kes penularan di dalam negara, satu kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Memperincikan kes penularan dalam negara yang melibatkan satu warga tempatan, beliau berkata kes itu dikesan daripada Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga di Kedah.
Bagi kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara pula adalah di negeri Selangor. Kes tersebut adalah daripada Kluster Bukit Tiram.
Mengenai kes itu, Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa kluster Bukit Tiram kini telah ke negeri Selangor memandangkan kluster itu berasal dari Johor.
"Kes positif (kes ke-8977) tersebut merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8893 dari Johor.
"Melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, kes positif ke-8893 didapati menginap di rumah kes ke-8977 pada 16 Julai sehingga 19 Julai di Selangor.
"Justeru, beliau telah dikenalpasti dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah," katanya.
Dr Noor Hisham turut berkata kes ke-8977 itu telah meminta untuk disaring kali kedua setelah beliau mengalami gejala batuk dan sakit tekak.
Beliau dikesan positif dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Dr Noor Hisham turut berkata tujuh daripada sembilan kes baharu dilaporkan itu merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan lima warga tempatan dan dua bukan warganegara.
“Kes import tersebut dari India (dua), Emiriah Arab Bersatu (satu) dan Jepun (satu), Switzerland (satu), Filipina (satu) dan Pakistan (satu),” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak tiga kes telah pulih daripada COVID-19.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh kini 8,647 kes iaitu 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 213 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” tambahnya.
Sehingga kini, dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.