KUALA LUMPUR, 20 Ogos -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat tiga lagi kluster diisytiharkan sudah tamat, iaitu Kluster Elsa, Kluster Stutong dan Kluster PUI Al-Khobar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketiga-tiga kluster tersebut ditamatkan selepas pemantauan dan pengawasan untuk tempoh 28 hari.
Kluster Elsa di Kuantan, Pahang
Kes indeks kluster ini ialah seorang bukan warganegara yang merupakan seorang krew kapal. Beliau mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea.
Beliau telah masuk ke Malaysia pada 16 Julai lalu untuk mula bekerja. Saringan COVID-19 di Filipina pada 14 Julai dilaporkan negatif. Beliau kemudiannya menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana, sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal setelah mendapat kelulusan Jabatan Laut.
Lima hari kemudiannya iaitu pada 20 Julai, beliau mula mengalami gejala. Beliau dikesan positif pada 22 Julai dan telah dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.
Kluster ini hanya membabitkan empat kes yang merangkumi satu warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara serta tiada kes kematian dilaporkan.
Kluster Stutong di Kuching, Sarawak
Kluster ini dikesan hasil saringan COVID-19 bagi penjaja-penjaja di sebuah pasar di Stutong, Kuching yang dikenalpasti sebagai salah satu kumpulan sasar dalam pendekatan tertumpu.
Kluster ini hanya membabitkan tujuh warganegara Malaysia dan tiada kes kematian dilaporkan.
Kluster PUI Al-Khobar di Petaling, Selangor
Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai lalu.
Saringan COVID-19 telah dijalankan terhadap beliau di pintu masuk antarabangsa KLIA dan didapati negatif. Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah bersama lima ahli keluarga di rumah keluarga mereka, di mana kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks menaiki pesawat yang sama. Rumah keluarga tersebut turut didiami oleh dua ahli keluarga yang lain.
Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai dan dikesan positif COVID-19 pada 20 Julai. Susulan itu, tujuh orang ahli keluarga beliau telah disaring.
Kluster ini hanya membabitkan dua warganegara Malaysia dan tiada kes kematian dilaporkan.
Sehingga kini, terdapat 82 kluster diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan selepas tidak lagi mencatatkan sebarang kes positif COVID-19 dan masih ada 17 kluster yang masih aktif.