KOTA KINABALU, 30 Ogos -- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata amalan norma baharu kehidupan susulan penularan pandemik COVID-19 juga perlu berlaku dalam politik di Sabah bagi memastikan kestabilan negeri itu.

Katanya, perpaduan dalam kalangan parti pembangkang di Sabah sangat penting, jika mereka mahu mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 September nanti.

“Kita bersatu hatilah, tidak kira kita datang dari Bersatu, UMNO, PBS, STAR, PBRS, MCA, dan SAPP, kita semua adalah rakyat Malaysia.

“Ini adalah norma baharu politik untuk kita duduk semeja demi kepentingan rakyat, kita perlu bersatu, bekerja sebagai satu pasukan dan apabila kita perolehi kejayaan nanti, kita akan bersama-sama majukan Sabah untuk rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pimpinan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah semalam.

Turut hadir Ketua Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Pengerusi BN Sabah dan UMNO negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Radin Malleh, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup, Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman.

Muhyiddin juga berkata, penting untuk kerajaan Sabah sehaluan dengan kerajaan persekutuan jika mahu pembangunan berterusan di negeri itu.

“Ini adalah soal masa depan, memang benar Sabah membangun, tetapi ianya belum cukup membangun.

“Saya tahu permasalahan utama di Sabah, iaitu dari segi infrastruktur, banyak jalan yang belum berturap dan kalau mahu belanjakan ia mencecah berpuluh bilion ringgit.

"Kerajaan Sabah saja tidak mampu, kalau tidak bekerjasama dengan (kerajaan) pusat…ini realiti, bukan soal politik,” jelasnya lagi.